Konco - Konco

Friday, January 4, 2013

Eksploitasi emosi si pengemis


KEBANYAKAN daripada kita pernah melalui pengalaman seperti berikut:

Apabila kita berjalan di tengah bandar, kita didatangi peminta sedekah berkopiah yang meminta sedikit wang. 

Apabila kita keluar dari pintu masjid, terdapat wanita yang berpakaian selekeh sedang mendukung anak kecil meminta simpati. 

Sebaliknya, apabila kita menjamu selera di restoran, ada pula gadis-gadis muda yang berpakaian cantik mendatangi kita. Mereka lazimnya memberitahu bahawa mereka sedang mencari dana untuk membina rumah anak yatim atau pusat pengajian agama.Mereka juga membawa bersama beberapa barang untuk dijual, walaupun barang yang dijual itu mungkin bukan sesuatu yang perlu dibeli.



Sebagai manusia, kita memang bertanggungjawab untuk mengurangkan beban dan penderitaan yang ditanggung oleh manusia lain. Bantuan yang kita berikan sedikit sebanyak boleh membantu mereka. Apatah lagi mereka itu saudara seagama dengan kita.

Secara psikologikal, manusia terdorong untuk membantu orang lain yang tidak bernasib baik kerana ia dapat mengurangkan kesan psikologikal yang dialami.Manusia akan berasa bersalah sekiranya tidak membantu orang lain yang sedang dilanda musibah, seolah-olah satu kesalahan besar sekiranya tidak menghulurkan bantuan tersebut. 

Kajian juga menunjukkan bahawa dengan membantu orang lain, individu akan mengalami kepuasan diri. Oleh yang demikian, bagi mengurangkan emosi bersalah tersebut, manusia akan menghulurkan bantuan apabila diminta walaupun dengan nilai yang sangat kecil.



Gerak emosi 


Sungguhpun kita mungkin perlu bersimpati, kita juga perlu berhati-hati.Tidak semestinya gerak emosi kita selalunya benar. Adakalanya kita mungkin terperangkap dengan beberapa fenomena psikologikal yang sedang dimainkan oleh para peminta sedekah dan pemungut derma ini.Mereka mungkin bermain dengan emosi kita sahaja, sedangkan hakikatnya mereka mungkin tidaklah menghadapi situasi sukar seperti yang kita jangkakan. 

Apatah lagi dengan kewujudan pelbagai sindiket profesional yang tahu bagaimana untuk memanipulasi manusia lain.Kita mungkin membantu bukan kerana mereka kelaparan atau mengalami kesusahan, tetapi kita telah diperangkap oleh stereotaip kelompok. Lebih buruk sekiranya bantuan yang kita hulurkan itu berkemungkinan 'membantu' meningkatkan lagi jenayah pemerdagangan manusia.

Kajian-kajian mendapati bahawa manusia cenderung untuk memberikan bantuan apabila mempunyai maklumat bahawa orang yang dibantu mempunyai perkaitan atau ciri yang hampir sama dengan mereka yang membantu. Sebab itulah, kita akan selalu melihat mereka yang berkopiah atau memakai jilbab/tudung meminta sedekah di hadapan masjid.

Strategi memakai kopiah atau berjilbab mungkin tidak membantu sekiranya mereka meminta sedekah di hadapan rumah ibadat bukan Islam. Begitu jugalah apabila ada anak-anak muda yang datang meminta derma ketika kita sedang makan di restoran. Mereka ini akan memaklumkan kepada pelanggan yang sedang menjamu selera bahawa mereka ialah anak-anak yatim yang perlu mendapatkan derma bagi membina rumah anak yatim dan sebagainya. Mereka berpakaian kemas agar kelihatan profesional.

Rasa curiga

Secara psikologikalnya, kerana mereka mempunyai ciri yang sama dengan kita, misalnya dari segi agama, kita berasa sangat perlu untuk menolong mereka. Bagaimanapun, sesekali kita juga perlu mempunyai rasa curiga. Sekiranya mereka ialah anak yatim yang sepatutnya perlu dijaga, mengapa mereka dihantar untuk meminta derma selewat pukul 12 malam?

Siapa pula yang menghantar mereka untuk berjalan seorang diri di setiap kedai makan pada waktu selewat itu? Bukankah membiarkan anak-anak gadis ini berjalan seorang diri di waktu malam mendedahkan mereka dengan risiko yang lain?

Kajian-kajian yang pernah dijalankan juga menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk menghulurkan derma dalam keadaan apabila diperhatikan orang lain.Ini kerana manusia mempunyai sifat 'ego' dan perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai nilai terpuji, apatah lagi apabila sedang diperhatikan. Apabila seseorang itu tidak menghulurkan bantuan tatkala sedang diperhatikan' oleh pelanggan lain yang sedang menjamu selera, atau jemaah yang sedang berjalan keluar dari masjid, kita berasa bahawa kita telah menonjolkan sikap buruk.

Harus diingat, 'diperhatikan' dalam konteks ini bukanlah bermaksud bahawa kita sedang diperhatikan oleh individu lain. Ia hanyalah perasaan yang bermain dalam fikiran kita sahaja.Sebab itulah, walaupun memberikan sedekah dan derma itu hal yang terpuji, tetapi ia tidak semestinya benar dalam semua keadaan. 

Sifat terpuji yang kita miliki adakalanya telah dijadikan kelemahan oleh pihak tidak bertanggungjawab membuat keuntungan. Lebih daripada itu, sikap baik kita itu mungkin membantu kepada jenayah yang lain. 

Sebagai manusia, kita perlu lebih rasional dalam setiap tindakan. Setiap hari kita mungkin sedang dimanipulasi oleh manusia rakus dengan pelbagai cara. Adakalanya kita menyangka bahawa apa yang sedang kita lakukan itu sebagai betul dan merupakan ajaran agama, tetapi sebenarnya kita mungkin sedang dimanipulasi oleh pihak lain yang mungkin sedang menggunakan nama agama.

Sumber : Kosmo
 
Maro said: "Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Pengalaman di Kota Bharu dulu, budak2 mintak sedekah drp aku, bila aku tak bagi..ditarik dan dicubitnya aku."

No comments:

Post a Comment

Pages

Bon Anniversaire!!

Daisypath Happy Birthday tickers